Program: Bazar Raya Nadi Bengoh 2026 Meriahkan Bulan Ramadan

15 Mac 2026 | Aktiviti Terkini

BENGOH, 14 Mac 2026 – Suasana meriah jelas kelihatan di perkarangan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Bengoh apabila berlangsungnya Bazar Raya NADI Bengoh 2026 bersempena sambutan bulan Ramadan tahun ini.

Program yang bermula seawal 8.00 pagi hingga 3.00 petang ini berjaya menarik kehadiran penduduk setempat yang hadir untuk memeriahkan bazar serta mendapatkan pelbagai juadah makanan yang dijual oleh para peniaga tempatan.

Beberapa gerai telah dibuka di hadapan perkarangan NADI Bengoh yang menawarkan pelbagai jenis makanan tradisional dan kegemaran ramai. Antara juadah yang dijual termasuk kuih-muih tradisional, nasi lemak, burger, kolok mee serta pelbagai pilihan makanan lain yang sesuai untuk juadah berbuka puasa.

Selain aktiviti jualan makanan, program ini turut dimeriahkan dengan BAZAR RAYA NADI 2026 – Kidsventure melalui sesi webinar bertajuk “Berniaga & Berjaya” yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai asas keusahawanan dan semangat berniaga sejak usia muda.

Seterusnya, turut berlangsung Webinar NADIpreneur & EmpowerHER dengan topik “Jenama Kuat, Pelanggan Melekat” yang memberi perkongsian kepada usahawan tentang kepentingan membina jenama yang kukuh bagi menarik dan mengekalkan pelanggan dalam perniagaan.

Dalam masa yang sama, pelbagai aktiviti turut dijalankan di dalam premis NADI Bengoh bagi memeriahkan lagi program. Antaranya ialah pertandingan mewarna yang melibatkan penyertaan kanak-kanak dari komuniti sekitar. Pertandingan ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori 1 bagi kanak-kanak berusia 7 hingga 9 tahun dan Kategori 2 bagi kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun.

Selain itu, turut diadakan sesi e-sukan (esport) NADI yang memberi peluang kepada golongan muda untuk mencuba pengalaman bermain permainan digital secara sihat dan terkawal. Sesi ini telah disertai oleh seorang peserta yang mengambil bahagian bagi memeriahkan aktiviti digital yang disediakan oleh pihak NADI.

Program Bazar Raya NADI Bengoh ini bukan sahaja menjadi platform untuk komuniti setempat menjalankan aktiviti keusahawanan, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk setempat sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Kami berharap program seumpama ini dapat terus dianjurkan pada masa akan datang bagi menyokong pembangunan komuniti serta memperkukuhkan peranan NADI sebagai pusat aktiviti masyarakat setempat.

Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan:

Kembali Ke Atas

kembali